MENU

PUAN HAJAH AZLINDA BINTI AZMAN, PPT - Pertama sekali marilah kita memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT kerana atas limpah kurnia dan izinNya untuk kita meneruskan usaha dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab mengurus dan mentadbir MDSB ke arah kemajuan dan pembangunan yang lebih cemerlang serta perkhidmatan dan layanan yang lebih baik kepada pelanggan.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Selamat Datang ke laman sesawang MDSB ini. Semoga laman ini dapat membantu memberikan informasi yang bermanfaat dan berguna berkaitan dengan pengurusan dan perkhidmatan MDSB khususnya dan Daerah Sabak Bernam amnya.

Saya yang baru menerajui MDSB, 2 Januari 2015, merasakan bahawa tugas untuk membawa MDSB ke arah lebih cemerlang adalah satu tugas yang penuh cabaran. Namun saya yakin dan percaya melalui kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh Ketua Jabatan/ Bahagian dan Unit serta sokongan daripada semua Ahli Majlis dan seluruh warga kerja MDSB, setiap pencapaian, anugerah dan sumber pendapatan akan terus dipertingkatkan. Saya juga berharap agar semua warga kerja MDSB sentiasa mengamalkan prinsip kerja berpasukan, bekerja dalam suasana yang ceria disamping berfikiran positif, kreatif dan inovatif untuk merancang dan melaksanakan sesuatu yang baru bagi meningkatkan kecemerlangan dan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

Walaupun MDSB adalah PBT yang terkecil berbanding PBT lain namun, kita masih boleh berbangga dengan beberapa anugerah dan pencapaian yang dicapai iaitu Pengiktirafan MS ISO 9001:2008 dan Anugerah Sijil Bersih 13 tahun berturut-turut. Semenjak 2011 hingga 2014, MDSB telah menerima Anugerah Amalan Persekitaran Kerja Berkualiti 5S daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Pada tahun 2012, MDSB dianugerahkan Johan Pertandingan Amalan Terbaik Zon Bersih PBT Selangor sempena Malis Pelancaran Zon Bersih Peringkat MBPJ dan Johan Kriteria Pembangunan Aduan Setempat Zon Bersih PBT Selangor. Pada tahun 2012, mengungguli anugerah sempena zon bersih, MDSB telah menerima 4 anugerah sekaligus iaitu Johan kriteria Dokumentasi Zon Bersih sesi 2012-2013e, Johan Kriteria Pengurusan Program Zon Bersih, Kriteria Pemantauan Kebersihan Zon Bersih, Kriteria Dokumentasi Zon Bersih Zon Bersih Sesi 2012-2013(Peringkat  Majlis Daerah). Baru-baru ini juga buat julung kalinya, MDSB mendapat tempat ke 4 dalam Program Sambutan Maulidurrasul 1436H

Saya masih lagi berpegang kepada polisi dan dasar MDSB sedia ada iaitu dari segi pembangunan fasa baharu tahun 2015 hingga 2015 untuk mencapai misi dan visi yang telah ditetapkan. Walaupun dari segi pembangunannya yang agak perlahan kerana sebahagian besar kawasan adalah hutan simpan dan kawasan pertanian, namun fokus utama adalah untuk mengembang dan membangunkan lagi sektor agro pertanian di daerah ini. saya berusaha untuk menambah baik dan mempromosi daerah ini agar dikenali di Selangor, Malaysia dan peringkat antarabangsa. In shaa Allah.

Akhir kata, saya mengharapkan sokongan daripada semua pihak dan bersedia untuk mendengar pandangan dan kritikan yang positif daripada orang ramai demi untuk melihat MDSB ini akan sentiasa Bersih, Indah dan Aman selaras dengan moto MDSB "BERDAYA , BERBAKTI, BERKUALITI"..

Sekian, terima kasih.

Kemaskini Terakhir: Selasa, 20 June 2017 - 10:17am