MENU

Jabatan Penilaian, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) telah menghantar Notis Pindaan Senarai Nilaian Cukai Taksiran kepada pemegang harta bagi memberitahu tentang kenaikan cukai taksiran ke atas tambahan-tambahan yang dibina oleh pemilik-pemilik harta.

Kenaikan tersebut berkuatkuasa pada 1 Julai ini bukan kenaikan kadar cukai taksiran tetapi adalah kenaikan ke atas nilaian tambahan-tambahan yang dibina seperti pembinaan tambahan bangunan kekal bahagian hadapan dan belakang serta binaan bangnan sementara seperti ‘ awning', garaj, teres dan lain-lain yang berkaitan.

MDSB mengambil langkah penguatkuasaan ini sebenarnya adalah untuk memberikan keadilan kepada semua pihak terutamanya kepada penduduk yang membuat tambahan ke atas rumah mereka melalui saluran yang betul dan permohonan yang telah diluluskan oleh MDSB. Sebanyak 3971 pegangan sahaja terlibat dengan kenaikan nilaian ini dan jumlah tersebut adalah mereka yang membuat apa-apa tambahan ke atas rumah tanpa permohonan dan kelulusan MDSB. 

Cukai taksiran masih mengikut kadar lama iaitu kadar pada tahun 1986. Buat masa ini, MDSB tidak bercadang untuk menaikkan kadar cukai sehingga mendapat mandat atau kelulusan daripada kerajaan negeri Selangor.Kenaikan nilaian ini adalah selaras dengan dasar yang merujuk kepada Akta Kerajaan Tempatan 171, seksyen 144 (1)(f) yang menyatakan, apa-apa perubahan pada pegangan berkadar disebabkan oleh mana-mana undang-undang berhubungan dengan perancangan yang mengakibatkan nilai pegangan itu naik atau turun, Pegawai Penilaian pada bila-bila masa meminda Senarai Nilaian itu dengan sewajarnya dan kadar hendaklah kena dibayar mengenai pegangan yang berkaitan itu mengikut Senarai Nilaian yang dipinda sedemikian.

Kepada pemilik-pemilik harta yang tidak berpuashati dengan kenaikan nilaian ini atau kurang jelas mengenainya, boleh membuat bantahan dengan menghantar surat bantahan kepada Yang Dipertua, MDSB dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh penguatkuasaannya pada 1 Julai ini.

Kemaskini Terakhir: Rabu, 13 January 2021 - 1:53pm