Pelancaran Penubuhan Kelab Berbasikal Daerah Sabak Bernam
Pada 4 Januari 2012, bermula jam 3 petang bertempat di Stadium Sungai Besar. Pelancaran penubuhan kelab berbasikal daerah Sabak Bernam disertai oleh beberapa jabatan kerajaan antaramya MDSB, IPD, PPD, PDSB, TNB, Syabas, Pelajar-pelajar sekolah, kelab-kelab persendirian dan orang awam. Program ini turut diserikan dengan kehadiran Dato’ Hasan Nawawi, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang serta ahli kelab Sukan MPKj.
Pengisian program:
• Pelepasan peserta berbasikal dari De Muara Sungai Hj Dorani, oleh YB Tuan Ng Suee Lim, ADUN Sekinchan.
• Perlawanan persahabatan bola sepak dan bola jaring antara MPKj dengan Majlis Daerah Sabak Bernam.
Harapan Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam sebagai penaung kelab, program yang diadakan ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara jabatan-jabatan kerajaan dan orang awam, memupuk semangat kesukanan, beriadah dengan cara sihat dan berharap akan diadakan Program Berbasikal De Bendang pada tahun ini sebagai salah satu tarikan pelancong ke daerah Sabak Bernam.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai kelab sila berhubung terus dengan Setiausaha kelab Berbasikal Encik Nor Azam bin Mohd Rafiai ditalian 03-32241414 samb: 225.

Seminar Malaysia Government Portals and websites Assessment 2011
Putrajaya – Pada 1 Disember 2011 bertempat di PICC, Putrajaya telah diadakan Seminar Malaysia Government Portals and Websites Assessment (MGPWA) 2011. Dalam seminar ini, sebanyak 285 agensi kerajaan telah berjaya mendapat penarafan 5 bintang di dalam penilaian Laman Web oleh MDEC. Salah satu agensi yang mendapat taraf 5 bintang ini adalah MDSB sendiri. Tahniah kepada MDSB dan semua yang terlibat dalam menjayakan portal MDSB ini.



(22/09/2011) MDSB Lanjut Tarikh Bayaran Cukai
SUNGAI BESAR 22 SEPTEMBER – Pelanggan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) yang belum mendapat bil cukai taksiran penggal kedua dinasihatkan datang ke Kaunter Bil MDSB untuk mendapatkan bil masing-masing.
Penolong Pegawai Penerangan, Noraini Ahmad berkata, bil cukai taksiran penggal kedua itu sepatutnya perlu dijelaskan sebelum 31 Ogos lalu dan sekiranya gagal mereka boleh didenda.
“Namun begitu, kita membuat sedikit perubahan dan bagi pelanggan yang belum berbuat demikian terdapat kelonggaran untuk menjelaskan bil cukai taksiran itu selewat-lewatnya 31 Oktober ini,” katanya.
Bagaimanapun, Noraini berkata, sekiranya didapati masih gagal untuk menjelaskan bil taksiran dalam tempoh kelonggaran yang diberikan, pelanggan akan dikenakan denda lewat bermula 1 November nanti.
Pembayaran bil cukai taksiran yang dikenakan ke atas pegangan berkadar seperti rumah atau kediaman, bangunan perniagaan dan perusahaan serta tanah atau lot kosong yang terletak dalam kawasan MDSB itu boleh dijelaskan di Kaunter Bayaran setiap jam 8 pagi hingga 4 petang dari Isnin hingga Jumaat.
Pelanggan yang ingin membuat pertanyaan boleh menghubungi Bahagian Penilaian di talian 03-322 41655 atau 03-322 41414.
Sumber: Selangorkini, 22 September 2011
(23/09/2011) PBT Terima Peruntukan Tambahan RM44.4 Juta
PUTRAJAYA: Sejumlah RM44.4 juta peruntukan tambahan disalurkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara tahun ini.
Menterinya, Datuk Wira Chor Chee Heung, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM29.4 juta adalah peruntukan untuk PBT di Semenanjung dan bakinya untuk Sabah dan Sarawak.
"Peruntukan itu bagi membolehkan PBT melaksanakan projek-projek pembangunan kecil seperti pembaikan dan naik taraf jalan, longkang, parit, tandas, dewan dan sebagainya.
"Nilai projek juga adalah tidak melebihi RM20,000 bagi setiap projek yang dilaksanakan dan berharap semua PBT dapat menggunakan peruntukan yang diberikan dengan sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan peruntukan khas itu di sini hari ini.
Beliau berkata, sehingga 15 September tahun ini, sejumlah RM181,890,198.11 peruntukan diluluskan kepada 98 PBT seluruh negara.
Chor berkata, peruntukan tambahan diberikan hampir setiap tahun bagi membantu PBT. – BERNAMA
Sumber: Berita Harian Online, 23 September 2011